Kami membincangkan topik ini pada suatu hari. Aku seorang pemikir dan strategis tidak menggemari akan permasalahan menjudikan hidup. Namun dia beria-ia mempertahankan pendapatnya.
Aku dengar dan memahami sisi pandangannya. Memang benar hidup satu perjudian. Setiap langkah yang kita ambil adalah satu ketidakpastian. Samada perlakuan kita itu akan berakhir dengan A atau Z atau sebarang abjad di antara A sehingga Z. Namun kita punya pegangan yang berasaskan pendidikan yang diterima sedari awal. Maksudku, ilmu yang kita terima samada secara rasmi di rumah atau di sekolah, dan ilmu pengalaman hidup. Oleh itu, seharusnya setiap langkah yang kita ambil adalah berasaskan fikiran dan logik.
Namun, hidup ini tidak seindah dan semudah satu campur dua, menjadi tiga. Ini kerana kadang-kadang, hasil tambah satu dan dua boleh berakhir dengan nombor yang selain tiga, bergantung kepada keadaan. Contohnya emosi. Apabila emosi turut memainkan peranan dalam menentukan keputusan hidup, maka pengakhiran sesuatu langkah akan menjadi perjudian. Bukan perjudian yang haram. Maksudku, pengakhiran keputusan tersebut mungkin kalah atau menang. Dan sewaktu keputusan di ambil, kedua-dua jawapan tersebut adalah sangat jauh dari jangkauan.
Bagiku, seorang manusia yang sentiasa mempunyai strategi dalam tindak tanduknya, maka memperjudikan hidup itu menjadi langkah yang terakhir akan aku ambil. Sekiranya aku mengambil sesuatu keputusan, beberapa pengakhiran telah tergambar di dalam otak fikiranku. Pada setiap pengakhiran itu, aku rancangkan cara dan bagaimana aku menangani sesuatu situasi sekiranya ia tidak berlaku mengikut perancangan. Justeru itu, aku agak sukar membuat keputusan kerana aku mahukan masa yang panjang untk membuat penilaian. Nah! Betapa sukarnya aku membuat keputusan.
Kesimpulannya, hidup ini memang satu perjudian kerana kita perlu membuat keputusan. Dalam setiap keputusan itu, buahnya nanti mungkin enak atau masam. Hendak atau tidak kita perlu terima kerana hanya itu caranya untuk bergerak ke hadapan.
Maka, aku terima pendapatnya. Kerana aku telah membuat satu keputusan sekarang yang aku tidak tahu akibatnya nanti. Hanya berserah.
Jangan selalu berjudi, terutama sekiranya nisbah keuntungan perjudian itu tidak berbaloi (...aku senyum).